Jul 22, 2007

Umno perlu berani lawan isu cabar hak orang Melayu

Oleh Ahmad Ghazali Musa

KUANTAN: Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, berkata Umno semakin takut untuk menyuarakan perkara sensitif, termasuk isu yang mencabar kepentingan orang Melayu sehingga ada pihak lain berani melakukannya secara terbuka.Beliau berkata, jika Umno tidak bersuara, parti pembangkang, terutama DAP menjadi lebih berani menyuarakan isu perkauman tanpa perasaan segan silu untuk menjaga hati bangsa lain.

"Umno penakut nak bersuara (isu sensitif seperti Dasar Ekonomi Baru) dan apabila kita tak bersuara, orang lain akan menjadi jaguh dan lebih berani. Kita takut kononnya nak jaga perasaan orang lain...kenapa DAP berani," katanya pada sidang media selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di bangunan baru RTM di Jalan Kamunting, dekat sini, semalam.

Ditanya mengenai pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) seperti Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik yang turut berani menyuarakan perkara sensitif seperti DEB secara terbuka, Adnan berkata, kalau di kalangan pemimpin komponen BN, ia boleh disuarakan secara tertutup."Kalau dalam komponen BN, kita boleh bincang, tetapi janganlah dibuat secara terbuka.

Kita boleh lakukannya secara tertutup kerana ia lebih baik. Sebab itu, saya banyak kali mengatakan apabila pemimpin komponen mahu menyuarakan perkara sensitif membabitkan isu seperti DEB yang dilihat lebih mementingkan untuk membela Melayu dan Bumiputera, ia sewajarnya dibuat secara tertutup," katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa kerajaan mengamalkan sikap terbuka, termasuk sedia mengkaji semula dasar atau peraturan yang tidak mencapai matlamat pengagihan ekonomi, Adnan berkata, dasar dan peraturan yang tidak selamat memang perlu dikaji semula.Beliau yang bersetuju dengan saranan Perdana Menteri itu, berkata perkara membabitkan kos seperti cukai dua kali dan amalan rasuah memang perlu dikaji semula dalam pelaksanaan dasar atau peraturan.

Katanya, sikap ditunjukkan Perdana Menteri itu membuktikan kerajaan sentiasa mengamalkan sikap tolak ansur dan bertoleransi dalam melaksanakan setiap dasar dan peraturannya."Bagi dasar seperti DEB ia dapat memastikan orang Melayu tidak terus ketinggalan dan ini mampu mengekalkan kestabilan negara dan ia adalah baik. Sewajarnya tiada mana-mana pihak menyuarakan rasa tidak puas hati," katanya.Malah, katanya, kaum lain boleh menyuarakan pandangan masing-masing untuk kepentingan bangsa mereka, termasuk dari segi meningkatkan tahap ekonomi.

No comments: