Jul 23, 2007

Telefon Pintar

LEBIH 80 peratus penduduk di negara ini memiliki telefon bimbit, sekali gus menunjukkan komunikasi kebanyakan masyarakat di negara ini berada di tahap yang amat memuaskan.

Tahap itu sejajar dengan hala tuju negara ke arah mewujudkan masyakarat berpengetahuan kerana hanya dengan maklumat mereka mampu membuat keputusan dengan lebih berkesan.


Pelbagai jenis telefon bimbit dilambakkan di pasaran tempatan ketika ini, menjadikan orang ramai lebih rakus memilih dan ada pula yang gelap mata atau keliru untuk memilih yang mana satu paling sesuai bagi kegunaan sendiri serta berada dalam lingkungan bajetnya.

Dua jenis telefon bimbit berada di pasaran iaitu telefon biasa dan telefon pintar yang biasanya dijual pada harga lebih tinggi sejajar dengan kemampuannya.

Pada awalnya pengeluar telefon pintar hanya berkerjasama dengan gergasi perisian dunia, Microsoft Corp untuk menghasilkan sistem operasi (OS) Windows versi mudah alih.

Oleh itu, kebanyakan telefon pintar berada di pasaran beroperasi di atas landasan OS Microsoft Windows Mobile.

Kini, telefon pintar bukan saja dengan OS Windows, malah Symbian yang terkenal sebagai OS telefon bimbit sudah memperkenalkan OS khusus untuk telefon pintar juga. Terbaru sekali ialah Symbian OS v9.5.

Telefon pintar didapati berkembang pesat di seluruh dunia dan OS Symbian versi terbaru itu dikatakan memiliki lebih 70 ciri baru untuk prestasi tinggi, tapi dalam lingkungan bajet pengguna biasa.

Itu bermakna telefon pintar bukan lagi untuk golongan profesional atau eksekutif saja, tapi mula diperluaskan ke peringkat pengguna biasa.

Walaupun apa pun jenis OS yang digunakan, telefon pintar membuka lembaran baru dalam teknologi telefon bimbit kerana berjaya menggabungkan fungsi suara dengan komunikasi data menerusi perisian pengurusan maklumat peribadi terbaik.

Ia menyediakan set aplikasi, kefungsian telefoni bersepadu dan platform. pembangunan terbuka.

Telefon bimbit yang dibangunkan berasaskan platform. teknologi pintar, menawarkan kedua-dua fungsi utama iaitu suara dan komunikasi teks, di samping diperkaya dengan aplikasi data tanpa wayar.

Kepada pengguna yang biasa menggunakan komputer peribadi atau notebook, pasti lebih mudah menggunakan telefon ini kerana sama-sama berasaskan OS Windows.

Telefon pintar lebih mudah digunakan untuk menjadikannya benar-benar alat peribadi dan cukup bertenaga untuk tujuan bekerja atau berhibur.

Pengeluar cip terbesar dunia, Intel Corporation berpendapat, menyediakan telefon pintar kepada kakitangannya dapat meningkatkan produktiviti dan menjimatkan kos.

Walaupun berada di luar pejabat, namun mereka masih boleh menyemak senarai tugasan pada hari itu, menyemak jadual tugasan, menyemak kalendar, menyemak senarai kenalan, memantau e-mel dan membuat panggilan.

Menurut pendapat Intel lagi, kakitangannya bukan sekadar boleh menyemak, malah boleh membuat perubahan secara langsung dan mengurus sendiri dari jarak jauh, sedangkan ia terus berhubungan dengan sistem perkomputerannya di pejabat.

Faktor itu memberikan lebih kawalan dan membenarkan mereka menghabiskan lebih banyak masa kepada sesuatu yang lebih utama untuk kepentingan serta peningkatan syarikat.

Menggunakan telefon pintar untuk mencapai kalendar atau e-mel dapat meningkatkan produktiviti kerana reka bentuknya yang lebih kecil dan mudah di bawa ke mana saja berbanding komputer notebook.

Untuk memastikan pengguna terus mendapat kefungsian terbaik dan terus terhubung itu, pengguna mestilah berada dalam ruang liputan, saiz peranti yang sesuai di bawa ke mana saja, jangka hayat bateri yang lebih panjang dan ciri mesra pengguna telefon bimbit terbabit.

Jika disebut mengenai ruang liputan, negara kita sudah tidak asing lagi dengan tiga penyedia perkhidmatan rangkaian telekomunikasi mudah alih yang kini meliputi hampir keseluruhan kawasan berpenduduk, walaupun hingga ke kawasan pedalaman.

Pelbagai jenis telefon pintar sudah berada di pasaran sebagai pilihan. Hanya perlu memilih untuk kesesuaian diri sendiri. Cuma perlu berhati-hati dan hanya memilih model yang memiliki ketahanan jangka hayat bateri lebih panjang.

Disebabkan kepelbagaian fungsi pintarnya, pengguna tidak perlukan lagi pembantu peribadi digital (PDA).

Jangan keliru kerana telefon pintar bukan PDA. Bezanya agak ketara kerana telefon pintar masih seperti telefon bimbit biasa yang kita miliki, manakala PDA lebih besar dan menggunakan kaedah input output skrin peka sentuhan.

Namun telefon pintar memiliki fungsi PDA, cuma bukan dengan skrin peka sentuhan. Ia direka bentuk untuk operasi sebelah tangan menggunakan pad kekunci sama ada untuk fungsi suara atau data.

Ada juga kalangan pengguna yang membawa komputer notebook ke mana-mana, namun ia belum cukup untuk memenuhi keperluan mendadak kerana tahap penyambungan yang masih terhad.

Biasanya untuk mendapat sambungan, komputer notebook perlukan kawasan liputan Wi-Fi. Pusat capaiannya masih terhad seperti di restoran dan lapangan terbang, sedangkan telefon pintar boleh digunakan selagi ada liputan rangkaian di mana saja.

Komputer notebook pula lebih sukar dan melengahkan. Pengguna perlu mengeluarkannya dari beg, kemudian menunggu untuk ć…´ooting? Sebarang tugasan yang hendak dilakukan dengan cepat gagal dilakukan segera dan kurang cekap.

Satu kajian firma penyelidik terkemuka mendapati memang benar penggunaan telefon pintar dapat meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos operasi. Keputusan juga boleh dilakukan dengan segera.

Sebagaimana yang disebutkan di atas tadi, produktiviti meningkat kerana kebolehan mencapai maklumat dengan segera. Ia boleh dilakukan menerusi capaian ke sistem perkomputeran korporat, e-mel, pertukaran data di antara kakitangan, penjadualan temu janji/mesyuarat dan pelbagai tugasan lain.

Ia juga mampu menukar cara bekerja dari hanya di dalam pejabat, kini boleh dilakukan di mana saja, walaupun sedang menunggu bas, di dalam keretapi, atau ketika menikmati hidangan tengahari di restoran kegemaran.

Kajian itu juga mendapati seseorang yang menggunakan telefon pintar dapat menyeimbangkan antara kerja dengan kehidupan.

Bukan dikatakan ketua pejabat dapat mengerah kakitangannya yang mungkin sedang berjoging di taman bunga, tapi faktor kesegeraan itu dapat dimanfaatkan untuk kepentingan semua pihak.

Sambil berjoging, mereka juga boleh bekerja, sekali gus membuktikan tahap keanjalan yang boleh ditawarkan dari sebuah peranti kecil.

Walaupun Microsoft dan Symbian tidak mengeluarkan telefon bimbit, namun hampir semua pengeluar telefon bimbit di dunia menggunakan khidmat mereka dalam pembangunan telefon pintar masing-masing.

Jika menggunakan Windows, telefon anda boleh melakukan berbilang tugas aplikasi. Walaupun sedang bertelefon, pengguna masih boleh menyemak e-mel, menyemak senarai tugasan, membuat jadual temu janji yang baru dan sebagainya.

Antara lain, pengguna boleh memanipulasi atau memprogram telefon mengikut keperluan serta kecenderungan. Ia termasuk skrinnya yang boleh diprogramkan untuk capaian pantas ke sesuatu aplikasi. Ia termasuk butang-butang pantas yang boleh diprogramkan.

Orang juga sering memperkatakan mengenai keperibadian. Telefon pintar boleh diperibadikan berdasarkan keupayaannya. Ia merangkumi nada dering, sekim warna, skrin, imej, laman web kegemaran dan perkhidmatan mudah alih.

Begitu juga dengan kawalan serta pengurusan e-mel. OS Windows boleh memanipulasi aplikasi e-mel termasuk Outlook, IMAP atau POP3 dan SMTP.

Apabila pengguna pulang ke pejabat, ia boleh diselarikan dengan PC atau notebook menggunakan ActiveSync untuk mengemaskinikan semula kedua-duanya.

Jika sebelum itu pengguna ada membuat pembaharuan menggunakan telefon, maka maklumat baru itu akan dipindahkan ke PC, begitu juga sebaliknya.

Antara ciri paling signifikan apabila bercerita mengenai telefon pintar ialah:

- Telefon pintar semestinya bersaiz kecil untuk memudahkan dibawa ke mana saja.

- Telefon pintar itu juga semestinya menyokong penggunaan alat set pendengaran telinga.

- Jangka hayat bateri semestinya cukup panjang untuk menampung penggunaan yang banyak.

- Penyediaan butang-butang pantas untuk beberapa fungsi utama amat diperlukan.

Kesimpulan kepada penggunaan telefon pintar itu ialah kemampuannya memperbaiki produktiviti pengguna walaupun berada di luar pejabat.

Ia mudah dibawa ke mana saja berbanding komputer notebook yang kadangkala tidak sesuai digunakan di tempat tertentu.

Pengguna boleh mengisi masa lapang mereka dengan lebih cemerlang, bukan saja mencapai maklumat penting untuk mengemaskini diri, malah boleh bermain game, mendengar lagu kegemaran atau menonton video filem.

Dengan kata lain, pengguna boleh bekerja di pejabat, di rumah atau di mana saja. Pengguna juga boleh berhibur di pejabat, di rumah atau di mana saja.

No comments: