Aug 3, 2007

12 mat rempit berjaya terjun di Kutub Utara



KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali tertangguh kerana cuaca buruk, Ekspedisi Terjun Bebas Kutub Utara Putera Umno semalam berjaya mencatat sejarah sebagai kumpulan belia pertama membuat penerjunan di Kutub Utara.Kumpulan 16 orang termasuk 12 bekas ‘mat rempit’ berusia 19 hingga 24 yang kini anggota Putera Umno itu, terjun dalam dua pasukan pada ketinggian 6,000 kaki dan 5,000 kaki dari helikopter MI-8 milik penganjur Russia, pada jam 4.20 pagi waktu tempatan (10.20 pagi waktu Malaysia).


Ekspedisi diketuai Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim itu menjadikan Malaysia negara pertama melakukan terjunan di Kutub Utara tahun ini, ketika pasukan negara lain menarik diri kerana cuaca buruk. Selain Abdul Azeez, ekspedisi disertai Haziq Azlan, Hamsja Arsyad, Mohamed Anuar Merami, Syed Halim Amir Ali, Mohamed Zakwan Yahya, Mohamed Irwan Shaari, Norafandi Noordin, Daniel Shah Redzuan Mohamed Zawawi, Mohammad Shafiq Akmal Trisno, Mohamad Khasiain Omar Khan, Musa Abu Bakar dan Saiful Nizam Dorani. Turut serta ialah dua jurulatih dari Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF), Azlan Ismail dan Abdul Karim Salleh dan ketua operasi ekspedisi Datuk Abdul Rahim Dahalan



Dalam keadaan cuaca di Kutub Utara semalam dianggap baik dengan kelajuan angin 13 knot serta suhu 18 darjah Celsius di bawah paras beku, 16 peserta ekspedisi itu terjun sambil melaungkan `Allah Akbar’ serta mengibarkan bendera Malaysia, Umno dan 14 bendera negeri di Malaysia. Abdul Azeez, ketika dihubungi berkata, doa dan sokongan rakyat Malaysia membolehkan mereka terus berada di Kutub Utara walaupun menghadapi cuaca buruk dan landasan merekah di Stesen Barneo (pintu masuk Kutub Utara) sejak tiba di Longyearbyen, Kepulauan Svalbard, 14 April lalu. “Ini adalah hadiah untuk rakyat Malaysia sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara dan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden Umno,” katanya.
Bendera Malaysia dan Umno yang dikibarkan di Kutub Utara itu akan diserahkan kepada Abdullah. Pasukan ekspedisi itu turut membentangkan bendera Malaysia dan bendera Umno ‘Sang Saka Bangsa’ berukuran 100 kaki panjang dan 50 kaki lebar di Kutub Utara. Seramai 25 anggota ekspedisi sebelum itu berlepas ke Stesen Barneo dengan menaiki pesawat Antonov 74 milik penganjur Russia pada 11.20 malam dan tiba di Stesen Barneo Russia, kira-kira tiga jam kemudian.
Mereka kemudian meneruskan penerbangan ke titik tengah Kutub Utara dengan menaiki helikopter MI-8 dan tiba pada 3.30 pagi. Turut serta ialah wakil Persekutuan Terjun Payung Russia, Sergey Insarov.Sejurus tiba, semua anggota ekspedisi mengerjakan sujud syukur sebelum bersiap untuk melakukan penerjunan pada 4.15 pagi. Selesai penerjunan, Sergey, yang mewakili Presiden Persekutuan Terjun Payung Russia, memakaikan Sayap Kanan Tentera Russia kepada Abdul Azeez.Abdul Azeez kemudian memakaikan pingat penerjunan kepada 12 penerjun Putera Umno serta Azlan dan Abdul Karim sambil disaksikan Abdul Rahim.
Suasana menjadi sayu seketika apabila penerjun muda Putera Umno saling berpelukan menangis kegembiraan pada upacara pemakaian pingat itu. Pasukan ekspedisi itu kemudian menyanyikan lagu Negaraku dan Umno sebelum berlepas pulang ke Kepulauan Svalbard, kira-kira 1,000 km dari Kutub Utara dan tiba di Lapangan Terbang Svalbard pada 8.20 pagi waktu tempatan.

No comments: