Aug 3, 2007

Sembilan pelajar perempuan mohon maaf belasah rakan

MUADZAM SHAH 3 Ogos - Sembilan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Keratong, Bandar Tun Razak, di sini yang membelasah serta merakam gambar bogel rakan mereka pada Jumaat lepas, memohon maaf di atas tindakan melampau itu hari ini.
Kesemua pelajar tingkatan empat yang ditemani ibu bapa masing-masing dilihat menangis serta menyatakan kekesalan mereka ketika bersalaman dengan mangsa dalam satu pertemuan di sekolah terbabit.

Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, kes itu berjaya diselesaikan secara penuh harmoni dan kemesraan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pemimpin setempat.
Beliau berkata, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar yang turut prihatin dengan kejadian terbabit turut menghantar pegawai khasnya, Shashim Shah Harun bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Perjumpaan hari ini bertujuan mencapai persetujuan dan berdamai antara pihak terlibat selain mengembalikan keharmonian masyarakat Felda dan mengembalikan suasana pembelajaran di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 16 tahun sedang dalam perjalanan ke rumah rakannya sebelum dihampiri sembilan pelajar perempuan lalu dibawa ke sebuah rumah kosong di Felda Keratong 1, kira-kira 5 petang.

Mangsa kemudian ditumbuk, ditampar dan diterajang sebelum salah seorang daripada mereka bertindak merakam gambar bogelnya menggunakan telefon bimbit dipercayai akibat rasa tidak puas hati.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan sebelum keluarganya membuat laporan polis.

Abdul Aziz berkata, kesemua pelajar berkenaan telah diberikan amaran keras dan akan dikenakan tindakan untuk mengikuti kursus jati diri serta sesi kaunseling selama sebulan.
Katanya, kesemua pelajar terbabit juga akan dipantau secara berterusan sehingga pihak sekolah berpuas hati.

“Apa yang dapat dijadikan iktibar daripada kejadian ini ialah penglibatan guru-guru tidak seharusnya berakhir di sekolah sahaja, tetapi perlu mengambil berat apa juga yang berlaku di luar sekolah,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang dijadual memulakan pembelajaran di sekolah baru pada Isnin ini setelah memohon bertukar sekolah, namun telah memaafkan kesemua sembilan pelajar terbabit.

Sumber: Bernama

No comments: